Saya juga menggunakan khidmat pesanan ringkas( sms ) tetapi tidaklah seteruk sehingga sukar untuk orang memahami kandungan mesej tersebut tetapi kini penggunaan sms sangat membimbangkan. Contoh penggunaan sms :
"kan kt ne? kt lai wah ah. pe je g g? te we ah. cun bj bro. cam bj ak nix ja an."
Apa agaknya perasaan anda apabila menerima mesej sebegini melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan kadangkala mesej itu pula boleh dikatakan menggunakan 100 peratus perkataan singkatan.Tahukah anda mesej di atas membawa maksud sebegini "Makan kat mana? Kat gulai kawahlah. Siapa saja pergi? Kita berdua sajalah. Cantik baju awak. Macam baju aku ni saja kan." Membaca SMS sebegini memang memeningkan kepala dan kadangkala membuatkan kita jadi berang lantaran terpaksa mengamati secara teliti apa mesej yang mahu disampaikan sehinggakan ada kalanya terasa seakan mahu saja dimaki hamun si pengirim SMS.
Mulanya, penghantaran SMS ringkas sebegitu bertujuan menjimatkan masa menaip perkataan panjang lebar tapi sudahnya membuatkan si penerima mesej terpaksa meluangkan lebih banyak masa memahaminya, malah mungkin terpaksa pula menghantar semula mesej minta si pengirim tadi menjelaskan maksudnya bukankah ia lebih membuang masa?
Lebih menyakitkan hati apabila SMS itu dikirim kepada orang tua yang kebiasaannya tak begitu memahami gaya bahasa remaja kerana kerap kali suka bereksperimen dengan penggunaan perkataan abstrak atau lenggok bahasa selanga sehingga kerap kali mereka (orang tua) merungut "Apa benda yang dia tulis ini. Pening aku!"
Tidak dinafikan penggunaan perkataan singkat dalam SMS adalah satu kaedah mengurangkan penggunaan aksara dalam penulisan bagi menjimatkan ruang dan kos kerana setiap SMS ada hadnya iaitu tidak lebih 60 karakter bagi setiap SMS yang kebiasaannya dicaj sebanyak 10 sen bagi satu SMS.
Cukuplah masyarakat kita dipengaruhi dengan pelbagai bentuk bahasa selanga remaja yang sudah mula sebati dan mula diterima semua kelompok usia seperti awek, makwe, bohsia dan bohjan. Jangan nanti satu hari nanti, bahasa ringkas SMS ini pula menjadi bahasa baru dan dihalalkan di mana- mana saja. Bukan tidak boleh meringkaskan penggunaan bahasa dalam SMS tapi biarlah berpada dan kena pada tempatnya. Jangan pula sampai si penerima langsung tidak faham sekali gus merosakkan konsep komunikasi yang sepatutnya berjalan lancar. Fikir-fikir dan renung-renungkanlah...!!!!
No comments:
Post a Comment