Thursday, March 17, 2011

PiDato oh PidAto




Pada malam kemuncak Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri di Putrajaya pada Jumaat lalu, Perdana Menteri,Najib Tun Razak ada memberi ulasan tentang pertandingan yang melibatkan ramai pelajar luar negara. Saya sangat tertarik dengan pertandingan itu kerana walaupun mereka bukan berbangsa Melayu tetapi mereka mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik.Ucapan itu  memberikan mereka suatu perasaan dan gambaran betapa sayangnya pucuk pimpinan negara kepada bahasa Melayu. Mereka akan tahu bahawa bahasa Melayu bukan sahaja selamat, malah masa depannya akan diperkasakan oleh PM dan kerajaan.

Pertandingan Pidato Antarabangsa itu yang pada tahun ini disertai 59 peserta dari 56 buah negara dari seluruh dunia adalah manifestasi iltizam PM untuk memastikan bahasa Melayu terus menjadi bahasa dunia. Beliau bertanggungjawab memulakan pertandingan itu lima tahun lalu ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri lagi.PM mengakui bahasa Melayu tidak terlepas daripada pelbagai cabaran dan hambatan dan beliau bertekad “akan memastikan dasar-dasar yang digubal sentiasa menyokong ke arah usaha mengembang dan memperkasa bahasa Melayu, sama ada bersifat kenegaraan mahupun keantarabangsaan.”

Di seluruh dunia, terdapat lebih 6,000 bahasa yang masih diguna pakai, tetapi hanya 20 bahasa yang diberikan taraf bahasa rasmi. Menurut Perdana Menteri, bahasa Melayu adalah salah sebuah daripada 20 bahasa itu dengan jumlah penuturnya lebih kurang 300 juta orang. Bahasa Melayu ialah bahasa kelima terbesar di dunia dari segi jumlah penuturnya.Usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu serta mempromosikan budaya, pelancongan dan keharmonian Malaysia pasti akan mendapat lonjakan besar daripada pertandingan pidato bahasa Melayu itu dan program-program sampingan yang dijalankan. Melaluinya, bahasa Melayu tidak mungkin mati, sebaliknya terus hidup, disegar dan disemarakkan.

Pengajaran daripada pertandingan itu pula amat banyak khususnya kepada penutur asli bahasa Melayu. Jika anda berpeluang mendengar pidato juara antarabangsa pertandingan itu pada tahun ini, Halil Ibrahim dari Turki yang begitu pandai bermain kata ketika mengusik Najib dalam pidatonya, anda pasti akan terpesona. Tidak ramai dalam kalangan kita yang selancar Halil kalau diminta berpidato.

Kerana itulah, PM mengingatkan bahawa kepetahan anak-anak muda dari negara luar menggunakan bahasa Melayu dengan gaya dan susun kata yang begitu indah “sebenarnya memberikan sindiran tajam kepada ramai antara kita yang lebih cenderung menggunakan bahasa rojak dan bahasa pasar dalam percakapan harian, sering kali pula sarat dengan campuran bahasa dalam urusan penulisan rasmi.”Bahasa Melayu adalah bahasa kita tetapi kita mungkin tewas berpidato dengan anak muda Turki itu atau sahabat-sahabatnya dari Rusia, China, Korea Selatan, hatta dari Nigeria dan Sudan, jika kita tidak sayangkan bahasa sendiri dan tidak bersama-sama memperkasakannya.

No comments:

Post a Comment