Thursday, February 17, 2011

BaHasa tElevisyEN

Hampir setiap hari kita menonton televisyen dan jika kita peka dengan penggunaan dan kesalahan bahasa yang dilakukan oleh pembaca berita sangat banyak. Sedangkan banyak mata melihat dan banyak telinga mendengar.Pelbagai kesalahan bahasa yang berterusan dikesan dalam pelbagai program televisyen dan radio khususnya stesen swasta sejak akhir-akhir ini.


Tanpa tindakan pembetulan oleh pihak bertanggungjawab, pasti  akan merendahkan mutu penggunaan bahasa Melayu itu sendiri kerana media eletronik mempunyai pengaruh besar terhadap perkembangan, pemantapan dan penghayatan bahasa Melayu. Contoh kesalahan paling kerap ialah penggunaan kata ganti nama pembesar dan pemimpin negara yang disebut tanpa rasa sopan dan hormat. Nama pembesar berkenaan kerap kali disebut dengan panggilan hormat yang dan betul pada sebutan pertama, tetapi panggilan berikutnya hanya menggunakan nama peribadi beliau sahaja.

Dalam masyarakat Melayu, ini bukanlah amalan yang wajar atau berbudaya kerana sebagai tanda hormat nama peribadi mereka tidak patut disebut, tetapi digantikan dengan kata ganti nama yang sesuai dengan taraf atau kedudukan mereka dalam status sosial masyarakat. Amalan sekarang itu adalah pengaruh budaya asing yang harus dihentikan. Selain itu, penggunaan kata ganti 'kita orang', 'korang', dan 'diorang' yang merujuk kepada ganti nama 'kami', 'kalian' dan 'mereka', yang kini meluas diguna dalam drama terbitan stesen televisyen berbayar juga harus dihentikan kerana boleh menjejaskan kualiti ,mencemarkan dan merendahkan bahasa Melayu, serta berlaku akibat pengaruh bahasa asing.


kesalahan bahasa itu jika tidak dibendung akan membawa impak buruk terhadap perkembangan bahasa Melayu kerana pengaruh media elektronik terhadap penonton dan pendengar khususnya kanak-kanak adalah sangat besar.
Walaubagaimanapun, amalan stesen televisyen dan radio kerajaan yang menggunakan bahasa Melayu tinggi dan berupaya menjadi contoh kepada pelajar dan masyarakat.

Wednesday, February 16, 2011

Dialek Kelantan

Dialek Kelantan (kecek kelate)
Dialek Kelantan merupakan dialek Melayu yang paling banyak mempunyai beza sebutan dari dialek-dielak Melayu di Semenanjung. Selain beza sebutan, dialek Kelantan juga mempunyai banyak perkataan yang berbeza. Ciri utama dialek Kelantan adalah penggantian huruf ‘n’ dan ‘ng’ di belakang kata dengan huruf ‘e’ (sama dengan bunyi e dalam kata Beca)

            Ejaan Standard                                   Dialek Kelantan
            Kawan                                                 Kawe
            Bulan                                                    Bule
            Terang                                                  Teghe
            Tenang                                                 Tene
            Bukan                                                  Buke
            Tangan                                                 Tange

Huruf ‘a’ di belakang kata juga diganti dengan bunyi ‘o’

            Ejaan Standard                                   Dialek Kelantan
            Apa                                                     Gapo
            Hamba                                                 Ambo
            Mana                                                   Mano

Perbezaan kata antara dialek Kelantan dengan Bahasa Melayu Standard

            Ejaan Standard                                   Dialek Kelantan
Satu (dua, tiga empat…)                     Se (dua, tiga empat…)
Saya                                                     Kawe / ambo
Awak / Kamu                                       Demo
Bagaimana                                            Guano
Cakap                                                  Kecek
Duit                                                      Pitih
Gaduh                                                  Gocho
Juara                                                    Jogho
Kelapa                                                 Nyo
Kawan / sahabat                                   Saing

Tuesday, February 15, 2011

aSaL UsUL MeLaYu

Asal-usul perkataan Melayu masih belum dapat disahkan oleh sejarawan.
Bagaimanapun terdapat beberapa bukti sejarah yang cuba mengaitkan asal-usul bahasa Melayu, seperti mana berikut:
1. Catatan orang China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar 644-645 Masihi.
Dikatakan orang Mo-lo-yeu mengirimkan Utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja China.
2. Ada yang mempercayai kerajaan Mo-lo-yeu berpusat di daerah Jambi, Sumatera , daripada sebatang sungai yang deras alirannya, iitu Sungai Melayu.
3. Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan kata ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi.
4. Dalam bahasa Jawa Kuno, perkataan “Mlayu” bermaksud berlari atau mengembara. Hal ini boleh dipadankan dengan orang Indo-Melayu (Austonesia) yang bergerak dari Yunan.
Asal Usul Bangsa Melayu
Dipercayai berasal daripada golongan Austronesia di Yunan.
Kumpulan pertama dikenali sebagai Melayu Proto.
Berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Batu Baru (2500 Sebelum Masihi)
Keturunannya Orang Asli di Semenanjung Malaysia, Dayak di Sarawak dan Batak di Sumatera.
Kumpulan kedua dikenali sebagai Melayu Deutro
Berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Logam kira-kira 1500 Sebelum Masihi.
Keturunannya orang Melayu di Malaysia
Dikatakan lebih bijak dan dan mahir daripada Melayu Proto.
Bijak dalam bidang astronomi, pelayaran dan bercucuk tanam.
Bilangan lebih banyak daripada Melayu Proto.
Menduduki kawasan pantai dan lembah di Asia Tenggara.
Orang ini, kumpulan pertama dan kedua, dikenali sebagai Austronesia.
Bahasa-bahasa yang terdapat di Nusantara sekarang berpunca daripada bahasa Austronesia ini.
Nik Safiah Karim menerangkan bahawa bahasa Austronesia ialah satu rumpun bahasa dalam filum bahasa Austris bersama-sama dengan rumpun bahasa Austroasia dan Tibet-China (rujuk carta alir di atas).
Bahasa Melayu termasuk dalam bahasa-bahasa Golongan Sumatera bersama-sama dengan bahasa-bahasa Acheh, Batak, Minangkabau, Nias, Lampung dan Orang Laut
Perkembangan Bahasa Melayu
Ahli bahasa membahagikan perkembangan bahasa Melayu kepada tiga tahap utama iaitu:
* Bahasa Melayu Kuno,
* Bahasa Melayu Klasik dan
* Bahasa Melayu Moden.
Bahasa Melayu Kuno
Merupakan keluarga bahasa Nusantara
Kegemilangannya dari abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Sriwijaya, sebagai lingua franca dan bahasa pentadbiran.
Penuturnya di Semenanjung, Kepulauan Riau dan Sumatera.
Ia menjadi lingua franca dan sebagai bahasa pentadbiran kerana:
* Bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar.
* Tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat
* Mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa.
Banyak dipengaruhi oleh sistem bahasa Sanskrit. Bahasa Sanskrit kemudian dikenal pasti menyumbang kepada pengkayaan kosa kata dan ciri-ciri keilmuaan (kesarjanaan) Bahasa Melayu.
Bahasa Melayu mudah dipengaruhi Sanskrit kerana:
* Pengaruh agama Hindu
* Bahasa Sanskrit terletak dalam kelas bangsawan, dan dikatakan mempunyai hierarki yang tinggi.
* Sifat bahasa Melayu yang mudah dilentur mengikut keadaan dan keperluan.
Bahasa Melayu kuno pada batu-batu bersurat abad ke-7 yang ditulis dengan huruf Pallawa:
* Batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang (683 M)
* Batu bersurat di Talang Ruwo, dekat Palembang (684 M)
* Batu bersurat di Kota Kampur, Pulau Bangka (686 M)
* Batu bersurat di Karang Brahi, Meringin, daerah Hulu Jambi (686 M)
Bahasa Melayu kuno pada batu bersurat di Gandasuli, Jawa Tengah (832 M) ditulis dalam huruf Nagiri.
Ciri-ciri bahasa Melayu kuno:
* Penuh dengan kata-kata pinjaman Sanskrit
* Susunan ayat bersifat Melayu
* Bunyi b ialah w dalam Melayu kuno (Contoh: bulan – wulan)
* bunyi e pepet tidak wujud (Contoh dengan – dngan atau dangan)
* Awalan ber- ialah mar- dalam Melayu kuno (contoh: berlepas-marlapas)
* Awalan di- ialah ni- dalam bahasa Melayu kuno (Contoh: diperbuat – niparwuat)
* Ada bunyi konsonan yang diaspirasikan seperti bh, th, ph, dh, kh, h (Contoh: sukhatshitta)
* Huruf hilang dalam bahasa moden (Contoh: semua-samuha, saya: sahaya)

tEgur MeNEgur...


Assalamualaikum :-)
Sebagai manusia, kita tidak akan lari dari kedua-dua sifat sama ada menegur atau ditegur. Menegur apabila melihat sesuatu yang tidak sesuai, tidak betul. Menegur juga dalam lingkungan kekuasaan kita. Jua ditegur sekiranya ada perlakuan, percakapan, ucapan, perbuatan serta sifat yang bertentangan dengan norma berlaku kepada manusia biasa.
Hari ini, saya banyak melihat dan memerhati banyak segi teguran dan peneguran berlaku. Kaedah paling mudah peneguran dilaksana adalah melalui penulisan. Pelbagai teguran terhadap pelbagai bidang seperti politik, kaedah pentadbiran, pemahaman, pegangan, prinsip dan sebagainya. Justeru, sekiranya ada sahaja perkara-perkara dalam mana-mana bidang yang tidak seiring dengan pendapat peribadi seseorang maka teguran akan dibuat.
Melalui perspektif tegur menegur, pokok utama yang mesti dipertimbangkan adalah kemestian bagi menjaga sensitiviti mereka yang hendak ditegur. Hal ini sedemikian, perkara yang ditegur akan meninggalkan suatu kesan yang dalam kepada naluri seseorang yang ditegur. Kesan tersebut dalam psikologi dinamakan ‘kesan emosi’. Tambah-tambah lagi orang seni. Jiwa mereka halus dan abstrak. Sifat kedua dalam konteks tegur menegur adalah ditegur. Sebagai seorang insan sudah tentu kita tidak akan sunyi daripada melakukan kesilapan. Bagi saya, menerima teguran sebenarnya adalah suatu seni. Seni menerima teguran ini tidak pernah saya terima atau diajar secara formal lebih-lebih lagi dalam pendidikan hari ini. Jika ada pun memang sangat sedikit.
Selain itu, faktor-faktor seperti kaedah serta persekitaran pembesaran seseorang menjadi faktor utama dalam menghadapi teguran. Kefahaman terhadap ‘Skala’ serta ‘tona’ peneguran memerlukan kaedah pentafsiran yang tepat. Kesilapan mentafsiran sesuatu teguran akan menyebabkan berlakunya salah faham dan mungkin akan menyebabkan nurani yang menerima teguran terguris dan juga dalam kes-kes tertentu akan menjurus kepada perbalahan atau perselisihan faham yang lebih besar.
Seni menerima teguran sebenarnya senang sahaja. Jika saya mengambil sifat yang kena tegur, pertama sekali saya perlu faham semua tindakan yang dilaksanakan dan bersedia untuk menerima teguran dengan hati terbuka. Seterusnya ialah mengenal pasti dengan cepat mereka-mereka atau golongan yang menegur. Pasifkah mereka? Agresif? Sinis? Atau ‘Pedas’? Hati terbuka akan mengatasi segalanya yang negatif.
Setakat ini, saya menerima pelbagai teguran walaupun kadang-kadang ada yang berat untuk diterima. Alhamdulillah, hampir semuanya saya dapat terima dengan elok. Jika tidak elok atau menyakitkan hati, saya akan mengelakkannya dan berterima kasih kepada penegur-penegur tersebut walau bagaimana sekalipun bentuk teguran tersebut.

Saturday, February 12, 2011

UM utamakan bahasa Inggeris?????!!!

Saya ada terbaca satu artikel mengenai Universiti Malaya mengutamakan bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu. Ini bererti secara langsung menyampaikan isyarat jelas bahawa bahasa Melayu (BM) sudah dipinggirkan dalam hasrat Naib Canselor mahu melihat UM diiktiraf dunia.

Usah keterlaluan mengangkat bahasa Inggeris seperti bahasa Melayu itu hanya layak masuk tong sampah sahaja. Usah menggesa segala urusan di universiti termasuk bercakap sesama sendiri semuanya harus dalam bahasa Inggeris. Usah ada pemikiran mengalahkan orang Inggeris sendiri ! Hakikatnya, minda yang memuja bahasa Inggeris itulah mesti berubah terlebih dahulu. Alangkah bahaya jika menganggap ciri budaya orang asing itu begitu suci manakala ciri budaya dan bahasa sendiri dipandang keji. Jika begitu halnya, mana perginya terjemahan semangat 'Keluhuran Perlembagaan' yang terkandung dalam Rukun Negara?

Apa guna Perkara 152 dalam Perlembagaan jika UM sebagai mercu gading tersohor dan hebat meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi tanah airnya sendiri? 


Fikir-fikir dan renung-renungkanlah....!!!!!!

SITUASI 3 : Kalau kail panjang sejengkal....

Kalau kain panjang sejengkal, belilah kail yang panjang sikit......

 SITUASI >

Rancangan raja lawak kini kian mecuit peminat-peminat cerita komedi. Mana tidaknya, boleh dikatakan ramai peserta raja lawak memang mempunyai bakat pelawak yang dianugerahkan oleh yang Maha Pencipta. Saya boleh dikategorikan sebagai peminat raja lawak juga dan saya ada meminati seorang peserta yang bernama Nazmi. Lawak-lawak yang dibawa agak bijak dan kreatif tetapi ada juga yang negatif. dia pernah menyebut satu peribahasa Melayu iaitu "kalau kail panjang sejengkal, belilah yang panjang sikit"...Memang tak dapat dinafikan dia hanyalah melawak tetapi ini boleh mendatangkan kesan negatif kerana peribahasa yang digunakan itu tidak betul.


ULASAN >

Penggunaan peribahasa yang digunakan oleh Nazmi tidak betul dan boleh membawa kesan negatif kepada pendengar. Walaupun itu hanyalah satu bahan lawak tetapi bagi pencinta bahasa, itu merupakan satu sindiran. Peribahasa yang betul adalah 'kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga' yang membawa maksud jika pengetahuan hanya sedikit, janganlah hendak melawan orang yang lebih banyak pengetahuannya.

SITUASI 2 : Perasaan curang....!!!

pErAsAan CuRanG ???

situasi >

"cuba kamu sebut perasaan-perasaan yang pernah kamu alami semasa kamu sedang bercinta"tanya Dr Siti Saniah kepada pelajar kelas sosiolinguistik. Pelbagai jawapan yang diberikan seperti gembira, sedih, marah, kecewa dan pelbagai lagi. Boleh dikatakan semua pelajar pernah bercinta. maklum sajalah jiwa remaja memang suka menyintai dan dicintai. tiba-tiba satu perkataan yang dianggap sedikit aneh keluar daripada salah seorang mulut pelajar. 'curang'....itulah perkataan yang keluar daripada mulut Rasyid. Dengan yakin dan lantangnya dia bersuara. Mungkin dia tak sedar kesilapannya.



ulasan >

Kesilapan yang berlaku disini adalah perkataan 'curang'. Rasyid mungkin tidak sedar kesilapan yang dilakukan ataupun mungkin dia tidak mendengar soalan yang diajukan oleh Dr Siti Saniah dengan jelas yang meminta pelajar menyatakan perasaan semasa becinta. 'Curang' bukan menunjukkan perasaan seseorang tetapi curang adalah perbuatan ataupun kata kerja. Hanya kata adjektif sahaja yang boleh melibatkan perasaan seperti perasaan marah, sayang rindu dan sebagainya.

Thursday, February 10, 2011

WajiBkan PelAjAR AsiNG bElajaR bAhasa MelAyu

Saya tertarik dengan Kementerian Pengajian Tinggi yang sedang membuat kajian untuk mewajibkan subjek Bahasa Melayu kepada pelajar asing bagi membina hubungan yang lebih baik antara pelajar itu dengan masyarakat setempat. Hal ini kerana mereka akan mengambil Bahasa Melayu untuk tujuan komunikasi, supaya mereka faham apa yang orang cakap. Bila dia keluar, dia nak beli barang kat kedai, dia boleh cakap. Kita bukan wajibkan mereka ambil Bahasa Melayu ilmiah tetapi sekadar bahasa Melayu yang rendah.

Masyarakat negara juga perlu mengubah persepsi buruk mereka terhadap pelajar asing kerana sumbangan mereka terhadap pembangunan negara ini cukup banyak. Masyarakat negara ini sudah salah sangka apabila menyangka kebanyakan pelajar ini yang rata-rata datang dari Afrika serta Timur Tengah menyumbang kepada kadar jenayah sedangkan peratus mereka yang terbabit adalah sangat kecil. Masyarakat juga harus ingat semasa mula-mula merdeka, kerajaan terpaksa menghantar ramai anak watan belajar di luar negara dan bayangkan jika mereka ini dilayan dengan buruk sudah tentu Malaysia akan terus ketinggalan.


Kita sudah lalui pada masa itu dan sekarang ini untuk masa orang lain, keduanya kita harus faham bahawa mereka datang, mereka memberi sumbangan yang besar pada ekonomi negara. Kita perlu bangunkan persepsi yang kita menerima apa saja pelajar dari benua mana sekalipun, mereka datang sebagai satu pengiktirafan betapa kukuhnya dan kuatnya penyediaan ilmu yang kita dapat sediakan.

Wednesday, February 2, 2011

SatE...

Malam Sabtu lalu , saya pergi ke pasar malam di Tanjong Malim untuk berjalan-jalan selepas penat membuat beberapa tugasan. Saya berjalan seorang diri kerana rakan-rakan telah pergi pada waktu petang. Saya agak terkedu mendengar perbualan seorang anak dengan ibu.

Anak : Ibu, adik nak satay. Adik nak satay.

Ibu : Tak payah. Ibu dah beli makanan lain ni.

Anak : Nak satay, nak satay.

Ibu : Jangan suruh ibu beli satay itu. Khinzir tu.

Anak :Hmm, nak satay. Lagipun dah lama tak makan satay khinzir.

Kita sebagai insan yang berada di muka bumi ini seharusnya memberi sebab yang munasabah seandainya mahu menolak sesuatu perkara. Komunikasi yang baik sangat diperlukan walaupun bercakap dengan orang terdekat kerana kata-kata yang kasar boleh menyinggung perasaan orang. Janganlah menjadi seperti si ibu tersebut yang tidak memberi contoh modal insan baik dalam pertuturan.