Wednesday, March 16, 2011

HAlimah Jongang...

Saya tidak pasti bila sebenarnya cereka Halimah Jongang mula disiarkan oleh salah sebuah stesen televisyen kabel berbayar di negara ini, cereka bercorak komedi tersebut memaparkan watak seorang anak gadis yang agak jongang menghadapi suasana harian dengan pelbagai sindiran dan bahan jenaka masyarakat sekelilingnya. Pertama kali menonton siri tersebut saya merasa agak janggal kerana kelihatan seperti seseorang yang jongang ini begitu lekeh kedudukannya di mata masyarakat kampung, padahal fikir saya semua manusia tahu bahawa jongang bukanlah sesuatu yang diminta oleh individu terlibat, bukannya dia pergi buat pendedahan plastik untuk menjadi jongan, sebaliknya ianya kurniaan daripada Allah S.W.T yang maha kaya lagi menciptakan sesuatu tanpa sia-sia.
halimah jongang Halimah Jongang : Bila Keuntungan Mengatasi Sensitiviti
Maknanya boleh tak kalau dikatakan mereka yang mentertawa dan mempersendakan insan lain yang dikurniakan oleh Allah S.W.T dengan gigi yang agak jongang sebagai mentertawa dan mempersendakan ciptaan Allah S.W.T, sedangkan mereka itu sendiri juga diciptakan oleh Allah S.W.T. dan kerana sifat Allah S.W.T sendiri yang maha kaya sudah tentu setiap ciptaanNya mempunyai hikmah dan sebab musabab yang hanya Dia mengetahui sedangkan manusia sebagai makhluk yang diberi akal fikiran untuk berfikir gagal mengunakan akal fikiran mereka.
Memang kalau dilihat dalam beberapa babak dalam cereka tersebut skrip dan dailognya agak keterlaluan dan saya rasa dalam dunia realitinya pun tak kan lah ada di kalangan manusia yang sanggup menghina mereka yang jongang dengan cara sedemikian rupa. Sedungu-dungu atau sebodoh-bodoh manusia, lebih lebih lagi yang dilahirkan sebagai umat Islam sudah tentu mengetahui bagaimana berdosanya menghina atau menyakitkan hati sesama manusia.
Dan saya juga terfikir siapa pulak yang tiba-tiba datang idea untuk membuat sebuah cereka khas untuk mereka yang jongang ni, apa maksud dan niat mereka sebenarnya hanya mereka yang tahu, mungkin mereka cuba untuk menyampaikan mesej tertentu kepada masyarakat mengenai isu jongang ini, namun apa sebenarnya mesej saya tidak dapat meneka.
Pada masa yang sama saya tidak pasti sama ada sensitiviti mereka yang dilahirkan jongangtutur diambil kira sebelum pembikinan cereka berkenaan, dan juga apakah kesan cereka berkenaan kepada penonton yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat dan berbilang latar belakang pendidikan, bagaimana penerimaan kanak-kanak sekolah yang diketahui memang suka mengejek kawan-kawan mereka, mungkinkah mereka akan mendapat idea baru untuk mengejek rakan mereka yang jongang di sekolah nanti selepas menonton cereka ini?. Bagi golongan dewasa juga ada yang boleh berfikir dengan waras dan ada juga yang sengaja tidak mahu berfikir kerana takut merosakkan kapasiti otak mereka lalu akan timbul pula pelbagai kesan yang tidak terjangka oleh pembuat cereka berkenaan. Dan berdasarkan klip-klip yang disiarkan oleh saluran terlibat, sini siap ada Halimah Jongang The Siries. Sama-samalah kita renungkan baik dan buruknya.

No comments:

Post a Comment