Thursday, January 27, 2011

JaNgAn JAgA TePi KaIn OrAnG

Dalam masyarakat Melayu, ada satu pepatah terkenal yang menggambarkan sikap peduli masyarakat terhadap hal ehwal orang lain. Ia sering digunakan oleh orang Melayu dan mungkin juga orang bukan Melayu dalam perbualan harian berbanding dengan pepatah lain. Pepatah yang dimaksudkan ialah 'jangan jaga tepi kain orang' yang membawa maksud, jangan ambil peduli hal orang lain.

Sekiranya pepatah 'jangan jaga tepi kain orang' ini membawa maksud buangkan sifat ingin tahu yang berlebih-lebihan mengenai sifat buruk dan keaiban seseorang, maka memang layak pepatah ini diamalkan.Ini adalah kerana sifat suka mengambil tahu tentang keburukan orang lain seringkali akan disusuli pula dengan tabiat suka menyebarkan keburukan itu kepada orang lain. 

Namun apa yang ingin dilihat di sebalik pepatah yang kelihatannya tidak begitu molek diamalkan ini ialah pepatah ini masih tetap relevan dengan tuntutan kehidupan harian kita masa kini sehingga mungkin  terpaksa diubah dari 'jangan jaga tepi kain orang' kepada 'tolong jaga tepi kain orang'. Apa yang ingin dimaksudkan di sini ialah kita harus mengakui bahawa persekitaran hidup kita sekarang tidak lagi aman dan selamat seperti suatu masa dahulu.

Di mana salah satu puncanya adalah runtuhnya institusi kejiranan dan lemahnya institusi kekeluargaan. Jiran sudah tidak lagi mengenali jirannya dan saudara-mara pun jarang sekali ingin bersemuka dan bertanya khabar.
Rasa bertanggungjawab terhadap jiran tetangga dan saudara-mara sudah semakin terhakis dalam budaya hidup masa kini. Dan antara penyebab yang membawa kepada tidak lagi berasa bertanggungjawab kepada permasalahan masyarakat dan kejiranan itu ialah menggunakan alasan 'jangan jaga tepi kain orang' sebagai jalan mudah untuk menidakkan rasa tanggungjawab.

Mesej jelas daripada senario kehidupan masyarakat kita ini menggambarkan bahawa mahu tidak mahu rasa prihatin dan bertanggungjawab terhadap persekitaran hidup kini mesti diwujudkan semula dan pepatah 'jangan jaga tepi kain orang' perlu diubah kepada 'tolong jaga tepi kain orang' sekiranya kita inginkan suasana yang lebih aman dan selamat.

Malangnya, kita seringkali tidak mahu dilabelkan sebagai penyibuk. Tetapi tahukah kita dengan menjadi 'tukang sibuk' dan suka jaga tepi kain orang inilah, mungkin suatu hari ia dapat menyelamatkan nyawa insan kecil yang mungkin anak jiran kita atau mungkin juga anak kita sendiri. Cuma yang menjadi persoalan kita hari ini ialah bagaimana pula dengan tanggungjawab kita sebagai ahli masyarakat. Adakah kita hanya perlu berpeluk tubuh dan menjadi pemerhati sahaja atau mungkin ada peranan yang boleh kita mainkan.

Namun, ini hanyalah andaian kita terhadap orang lain, kerana hakikatnya realiti kehidupan masyarakat kita sendiri sudah sedar betapa 'menjaga tepi kain orang' yang kena pada tempatnya adalah satu tanggungjawab yang perlu disuburkan semula agar menjadi budaya sihat yang membawa kepada kesejahteraan kita semua.

No comments:

Post a Comment